I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, November 2, 2010

~~KiSaH SeOrAnG EmAk~~

Mengimbau kenangan silam kisah insan dipanggil ‘emak’.
Emak kaya dengan kata-kata. Emak kaya dengan macam-macam watak. Kata-kata dan sikap emak fleksibel mengikut perkembangan anak-anak.
Kala kita masih kecil, emak pelat-pelatkan cakapnya supaya kita seronok bercakap dengan emak. Emak suka peluk kita. Emak sembang macam-macam dengan kita. Emak agah-agah kita, kita terkekeh-kekeh ketawa. Emak seronok kita mengelekek ketawa walau kita tak pandai berbicara. Semakin galak kita mengekek semakin riuh mulut emak. Emak sedih kala kita demam, emak dodoi-dodoikan di bahunya dengan zikir, emak peluk, emak tepuk-tepuk redakan tangisan, emak demah seluruh badan asal kita segar kembali.
Kala menjejakkan kaki ke sekolah, emak juga paling gembira, emak masakkan air mandi dengan menggunakan kayu api. Emak gosokkan baju dengan seterika arang. Emak siapkan beg sekolah kita. Emak minyakkan rambut. Emak sikatkan rambut. Emak buatkan sarapan. Emak suapkan makanan. Emak bekalkan makanan. Emak cium kita sebelum ke sekolah. Pesan emak mendalam harapan, “belajar pandai-pandai jadi orang berguna, jangan nakal-nakal, hormat cikgu, jangan usik kawan, makan kongsi dengan kawan.”
Balik sekolah emak sambut dengan senyuman, ada mak yang sudah tunggu depan pagar sekolah siap berpayung. Ada yang dipimpin emak jalan bersama. Emak kesat peluh tatkala kita penat berjalan. Emak bawakan beg. Kekadang kita buat-buat manja, lenguh kaki berjalan mencangkung tepi jalan, emak tetap tersenyum. Emak pujuk dan emak dukung kita. Sebelah tangan pegang payung, sebelah lagi cepong kita. Bahu emak menggalas beg kita. Senget badan emak. Pun begitu mak tetap senyum, siap cium kita lagi walau berbau ‘hangit’ seharian di sekolah.
Kita peluk erat emak. Di atas bahu emak kepala terlentok ada ketika kita terlena. Ada harinya kita didukung tanpa payung. Kita dipakaikan topi. Kita diselimuti kain batik lepas emak.
Emak tidak mengapa berpanas, asal kita selesa dipangkunya. Memang emak mahu kita selesa sentiasa. Itu tidak dikira lagi jika hari hujan. Di rumah kala kita tidak sihat, tidak berselera makan, emak tanya lagi apa yang kita suka makan, emak akan buatkan. Jernih mata emak apabila melihat kita banyak makan.
Itulah rutin emak yang tak pernah jemu, kaya dengan senyuman, pujuk rayu dan kesantunan budi. Itulah caranya emak menyuburkan semangat kita untuk rajin ke sekolah, untuk jadi orang pandai. Cita-cita semua emak tidak mahu menyusahkan anak, sanggup diri susah dan terkorban. Pesan emak bertubi-tubi, “belajar rajin-rajin, jadi orang pandai. Bila pandai semua orang sayang. Ilmu boleh ubah kita jadi senang. Jaga akhlak. Jangan malukan keluarga. Mak tak pandai sebab mak orang susah.”
Itu sekelumit cerita ringkas seorang ‘emak’.